Waktu bekerja 45 jam seminggu berkuat kuasa 1 September 2022
Pindaan Akta Kerja 1955 yang telah diluluskan di Parlimen pada 29 Mac 2022 akan dikuatkuasakan pada 1 September 2022.
Ia antara lain menggariskan, pindaan berhubung pengurangan dan fleksibiliti waktu bekerja.
Antara pindaan yang telah diluluskan termasuk mengurangkan waktu bekerja mingguan daripada 48 jam kepada 45 jam.
Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Awang Hashim berkata, pengurangan ini selaras dengan konvesyen Pertubuhan Buruh Antarabangsa, untuk meningkatkan produktiviti buruh dan memelihara kebajikan pekerja serta keluarga.
"Akta ini juga memperkenalkan seksyen baharu mengenai aturan kerja fleksibel untuk membolehkan pekerja memohon kepada majikan untuk melaksanakan pekerjaan mengikut kesesuaian waktu kerja, hari bekerja atau tempat kerja termasuk bekerja dari rumah bagi situasi-situasi mendesak seperti pandemik COVID-19.
"Dengan pindaan ini, majikan boleh membuat aturan jumlah hari bekerja mengikut kesesuaian operasi syarikat masing-masing dengan memastikan jumlah waktu yang ditetapkan," katanya.
Beliau menjawab soalan senator Md. Nasir Hashim berkenaan pendirian Kerajaan mengenai empat hari bekerja dalam tempoh seminggu terutamanya dalam sektor swasta.